Betulkan Persepsi Terhadap Penagihan Dadah

Penagihan dadah bukan satu masalah baru. Usaha untuk mengatasinya telah dijalankan sejak lebih 20 tahun lalu. Walau pelbagai cara dilakukan namun, masalah ini masih membelenggu kitaran hidup masyarakat di negara kita. Ibarat 'duri dalam daging', masalah penagihan dadah ini sentiasa menimbulkan polemik dan keresahan di kalangan masyarakat mahu pun penggubal polisi negara. Dalam usaha mengatasi masalah ini, kos yang terlibat bukanlah sedikit. Beberapa minggu yang lepas, di Dewan Rakyat, Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, RM1 bilion dibelanjakan dalam tempoh 20 tahun bagi kos rawatan pemulihan lebih 10,000 penagih dadah di 28 pusat serenti seluruh negara. Kos itu, katanya, meliputi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan bagi 28 pusat serenti. Sebaliknya, dengan nilai sebegitu tinggi, dikatakan bahawa beberapa buah universiti boleh dibina. Selain kos berbentuk wang ringgit, terdapat juga kos dari segi masa dan tenaga. Bukan sedikit masa dan tenaga dikeluarkan untuk mengatasi masalah penagihan dadah di Malaysia . Walau pun dengan penglibatan modal yang sebegini besar, masalah ini masih terus menjadi isu nombor satu negara. Malahan, peningkatan jumlah penagih dari tahun ke tahun telah menimbulkan persepsi bahawa negara ini telah gagal menguruskan masalah penagihan dadah tersebut. Seiring dengan itu wujud pula pandangan bahawa masalah penagihan dadah ini tidak boleh diatasi lagi. Pun begitu, pandangan ini ternyata tidak tepat. Berdasarkan kajian selama lebih 20 tahun oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NIDA) di Amerika Syarikat, menunjukkan masalah ini ada jalan penyelesaiannya. Malahan di negara tersebut, statistik menunjukkan bahawa lebih 70 peratus penagih dapat dipulihkan sepenuhnya. Oleh itu, pendapat dengkel tadi adalah tidak tepat dan perlu diubah. Ramai di antara kita yang bersetuju bahawa terdapat banyak faktor-faktor peningkatan masalah penagihan dadah di Malaysia . Salah satu faktor penting adalah berkait dengan tekanan yang wujud dalam masyarakat. Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan muda (anak kecil, remaja dan belia) untuk menjadi seorang yang berguna dan menaburkan khidmat bakti kepada negara. Atas sebab ini, pelbagai kekangan berbentuk peraturan, nilai-nilai dan arahan diletakkan di bahu anak-anak muda ini. Manakala, jika mereka gagal menurut kayu pengukur yang telah ditetapkan, mereka dipandang rendah dan dihina. Pandangan, cemuhan dan ejekan sebeginilah yang mungkin menyebabkan mereka mudah dipengaruhi dadah. Dadah yang mampu memberikan keseronokan tidak terkira dan tidak mungkin difahami oleh kita semua, menjadi alat untuk membebaskan diri dari tekanan dan kekangan dalam hidup mereka. Apabila sudah terjebak, amat sukar pula untuk berpatah balik. Jelas, bahawa tekanan dan kekangan masyarakat mempunyai peranan dalam peningkatan masalah penagihan dadah. Walau pun ini bukan satu-satunya faktor penyebab penagihan dadah, namun hubung-kait faktor ini tidak boleh dipinggirkan. Sekurang-kurangnya terdapat tiga persepsi yang salah berkaitan masalah penagihan dadah di Malaysia . Persepsi pertama adalah tanggapan bahawa golongan penagih tiada harapan sembuh. Atas alasan ini, mereka tidak perlu dibantu. Malahan ada pula yang lebih ekstrem dan sanggup berkata 'biarlah mereka mati di lorong-lorong gelap itu'. Pendapat sebegini menunjukkan kecetekan pemikiran sebahagian besar anggota masyarakat kita. Buruk sangka sebegini sebenarnya tidak tepat sama sekali kerana penagih dadah sebenarnya boleh disembuhkan. Di Malaysia sendiri, ada penagih yang telah sembuh dan dapat menjalani kehidupan normal. Malahan, mereka boleh pula menabur bakti kepada ahli masyarakat. Selain itu, di Malaysia, penagih selalu disamakan dengan penjenayah. Oleh itu, masyarakat mengecap mereka sebagai sampah masyarakat yang perlu dikurung dan dihukum. Namun begitu, di kebanyakan negara lain, penagih dianggap sebagai pesakit dan bukannya penjenayah. Analogi penyakit ketagihan yang mereka hadapi adalah seperti penyakit kronik yang lain. Cuma yang berbeza adalah penagihan dadah merupakan sejenis penyakit kronik yang boleh disembuhkan. Lagi pun, Agama Islam menegaskan bahawa semua jenis penyakit boleh disembuhkan. Ini dibuktikan dalam sebuah hadis yang bermaksud "Wahai para hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah yang menciptakan penyakit juga telah menciptakan ubatnya" (H. R. Bukhari). Jadi, jika persepsi ini boleh diterima maka masalah penyisihan dan cemuhan dari anggota masyarakat boleh diminimakan. Dalam masa yang sama, penagih dadah juga boleh meletakkan harapan yang tinggi untuk sembuh. Kesilapan persepsi terhadap penagihan dadah yang ketiga adalah bilamana anggota masyarakat selalu menganggap bahawa masalah ini 'bukan masalah kita tetapi masalah orang lain'. Hanya kerana tiada ahli keluarga kita yang menghadapi masalah ini, maka kita mudah merasa selesa dengan keadaan yang sedia ada. Sedangkan, jika dibiarkan begitu sahaja, masalah ini boleh menjadi semakin rumit dan kebarangkalian 'menjangkiti' anak-anak kita serta generasi akan datang adalah sangat tinggi. Penerangan-penerangan yang diberikan di atas jelas membuktikan bahawa memang wujud persepsi yang salah terhadap masalah penagihan dadah di Malaysia . Oleh itu, usaha untuk memperbetulkannya mesti dilakukan. Jika usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap penagihan dadah berjaya, ahli masyarakat pasti sedia membantu menangani masalah ini dan seterusnya menerima kembali bekas penagih yang telah sembuh. Bukan itu sahaja, bantuan sama ada berbentuk fizikal mahu pun sokongan emosi boleh dihulurkan. Dari segi fizikal misalnya, bantuan wang ringgit, peluang pekerjaan, ilmu pengetahuan, kemahiran dan sebagainya boleh diberikan. Manakala, sokongan emosi pula meliputi tiupan semangat, kasih-sayang, teguran dan nasihat yang memang sangat diperlukan oleh golongan bekas penagih ini. Malahan, sokongan emosi ini dianggap lebih penting dan akan menentukan kejayaan golongan tersebut membina semula kehidupan mereka. Dalam masa yang sama, semua anggota masyarakat mesti sentiasa peka dengan situasi di sekeliling mereka. Kegiatan penagihan dadah di kawasan setempat perlulah dilaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera. Atau pun, jika melihat anak-anak jiran yang cuba mendekati najis dadah ini maka segeralah melaporkan perkara tersebut kepada ibu bapa mereka agar bantuan boleh dihulurkan. Pendek kata, masyarakat boleh menyumbang dengan pelbagai cara untuk menangani masalah penagihan dadah ini. Mengubah persepsi masyarakat tentang masalah penagihan dadah ini sangat penting jika kita ingin memastikan setiap anggota masyarakat sedia dan rela melibatkan diri dalam usaha pencegahan dan pemulihan dadah. Dalam masa yang sama, usaha pembasmian secara bersepadu perlulah digerakkan demi mencapai matlamat negara Malaysia bebas dadah menjelang tahun 2015. Di samping itu, hasrat kerajaan untuk menilai semula program-program pemulihan sedia ada amat dialu-alukan. Para penagih yang telah sembuh juga mempunyai tugas yang berat untuk membina kepercayaan ahli masyarakat terhadap mereka. Keyakinan ini boleh dibina misalnya dengan penglibatan aktif dalam kerja-kerja membasmi penagihan dadah, mendekatkan dan melibatkan diri dengan kegiatan kemasyarakatan serta berusaha membina kejayaan diri dengan bersungguh-sungguh. Tugas untuk mengubah nasib ke arah yang lebih baik perlu dilakukan dengan tekun. Tugas ini bukan mudah. Banyak halangan akan ditempuhi. Namun, bekas penagih perlu yakin bahawa usaha mereka akan berhasil kerana tiada siapa yang akan mengubah nasib mereka melainkan diri mereka sendiri. Oleh itu, renung-renunglah ayat 11 dari Surah Ar-Ra'd yang bermaksud "Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala' bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya

0 orang yang membebel:

Post a Comment