Islam rangkumi sistem kehidupan
Bersama Abdurrahman Haqqi
Barat takrif agama hanya dalam gereja terpisah daripada hidup di dunia MEMANG penulis mengikuti perkembangan Sukan Olimpik Beijing, China yang sedang berlangsung sekarang, tetapi tidak akan mengulas mengenai acara yang dipertandingkan pada kejohanan berprestij itu dalam ruangan minggu ini. Apa yang ingin penulis paparkan minggu ini ialah mengenai berita yang dilaporkan AFP Selasa lalu di mana Presiden Amerika Syarikat, George W Bush menasihati rakannya, Presiden China, Hu Jintao dan pemimpin China lain untuk tidak berasa bimbang terhadap agama. "Don't fear religion," katanya. Bahkan untuk membuktikan bahawa agama adalah kedamaian, Bush dengan bangga mengatakan di Beijing: "Laura and I just had the great joy and privilege of worshipping here in Beijing...You know, it just goes to show that God is universal and God is love, and no state, man or woman should fear the influence of loving
religion."
Lain yang diucap lain pula yang dibuat. Di negaranya, Bush terbukti selama ini berasa bimbang terhadap agama Islam. Islamfobia semakin menjadi pada masa pemerintahannya, malah sudah diketahui umum bagaimana beliau menjadikan Islam sebagai musuh dunia. Dia bunuh ratusan ribu bahkan jutaan Muslim di Afghanistan dan Iraq tanpa berasa salah walaupun dunia mengutuknya. Dengan kekuasaannya tidak ada yang berani mendakwanya sebagai penjenayah perang padahal dengan jelas dia sudah melakukan 'genocide'. Keadaan berbeza dengan Presiden Sudan, Omar al-Bashir kerana dia Muslim, PBB mendakwanya melakukan pembunuhan beramai-ramai di Darfur, padahal itu hanya rekaan saja bukan seperti yang kita saksikan di Afghanistan dan Iraq.
Satu kemungkinan di antara beberapa kemungkinan mengapa Bush menasihati untuk tidak takut terhadap agama kerana dalam sistem kehidupan Barat agama dipisahkan dari sistem kehidupan manusia. Agama adalah apa yang ada dalam gereja, tidak lebih. Ia tidak boleh melintasi koridornya menuju kehidupan negara dalam bidang sosial, politik, ekonomi dan lain-lain. Oleh itu, kita perhatikan dalam ucapan Bush itu, beliau berasa damai di dalam gereja Protestan Kuanjie. Ini yang ditakuti Bush mengenai Islam kerana Islam bukan saja agama tapi ia juga sistem kehidupan yang menjadi 'way of life' setiap pemeluknya. Islam tidak hanya berada di masjid tetapi juga di bangunan pentadbiran kerajaan. Islam tidak hanya termaktub dalam al-Quran tapi ia juga tingkah laku manusia yang menghidupkan al-Quran. Islam tidak hanya agama yang mengatur norma dan nilai, tapi ia adalah sistem kehidupan manusia secara keseluruhannya. Al-Syahid Hassan al-Banna pernah menggariskan dalam Usul al-'Isyrin: "Islam adalah satu sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah." Satu daripada simbol Islam sebagai agama dan sistem kehidupan dalam sukan Olimpik Beijing ialah semakin ramai atlit wanita yang bertudung terbabit dalam kejohanan itu. Mereka ialah enam dari Mesir, Iran (tiga) dan masing-masing seorang dari Afghanistan, Bahrain dan Yaman. Mereka bertanding dalam acara lari pecut, berbasikal, taekwando dan memanah.
Seorang daripada atlit bertudung yang menyertai acara lari pecut ialah peserta dari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara. Sebagai seorang atlit dan Muslimah bertudung, dia mencipta sejarah apabila meraih pingat emas dalam Kejohanan Sukan Asia Barat pada 2006. Ditanya mengenai tudung, Ruqaya menjawab, "Tudung tidak pernah jadi masalah buat saya." "Islam masuk dalam sistem sukan, bukan sekadar agama, tetapi ketika masuk ke dalamnya, mahu tidak mahu, mestilah ajarannya mengawal tingkah laku pemeluknya. Aurat, sebagai contoh, wajib ditutup kata ajarannya maka wajiblah si pemeluk menutup auratnya. Perkara inilah yang tidak diinginkan kebanyakan manusia walaupun pada akhirnya mereka juga akur dengan prinsip keagamaan ini." katanya. Tahun lalu Persatuan Taekwondo Dunia (WTF) yang beribu pejabat di Seoul, Korea Selatan melarang atlit perempuan bertudung menyertai pertandingan dengan alasan bahawa mereka tidak mengenal asas agama dan tidak akan membuat penyesuaian simbol keagamaan, termasuk tudung. 'Fatwa' ini diberikan selepas ditanya oleh Persatuan Taekwando Kanada (PTK). Bagaimanapun, selang sebulan selepas itu, satu lagi persatuan iaitu Persatuan Taekwando Antarabangsa (ITF) membenarkan atlit wanita untuk bertudung dalam pertandingan antarabangsanya di Quebec, Kanada. Islam sebagai agama mempunyai ajaran yang sesuai dengan fitrah manusia dan ia tidak pernah bercanggah dengan sifat semula jadi manusia itu sendiri. Islam sebagai sistem kehidupan mempunyai peraturan yang tidak membebankan manusia dengan peraturan ketatnya. Walhal, Islam sebagai agama dan sistem kehidupan adalah kenderaan yang ideal bagi manusia dalam mengharungi perjalanan hidup di dunia ini menuju tempat tujuan asal mereka yakni syurga.
Sebagai agama, Islam sememangnya mengajak manusia untuk hidup damai. Islam sebagai sistem kehidupan sememangnya mengambil kira sifat semula jadi manusia agar diterapkan oleh mereka. Walaupun manusia itu dari segi sifat semula jadinya adalah baik, namun dia mempunyai kecenderungan untuk melakukan perbuatan yang tidak baik.
Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa." (Surah al-Syams: 7-8)
Sesuai dengan unsur jasmani dan rohani yang terbina dalam diri manusia, peribadi manusia mempunyai potensi untuk menjadi sebuah medan pertarungan antara dua kecenderungan: Dorongan kepada kebaikan dan dorongan kepada kejahatan.
Justeru, manusia perlu menggerak dan memanfaatkan segala potensi yang ada pada dirinya agar dia dapat memastikan kecenderungan ke arah kebajikan dan sebaliknya kecenderungan ke arah kejahatan dapat dinafikan. Sistem kehidupan inilah yang dipromosikan Islam. Sistem kehidupan gabungan jasmani dan rohani ini tidak dimiliki sistem Barat kerana pertembungan falsafah Plato dan Aristotle masih ketara dalam pemikiran mereka. Plato sebagai idealis berpendapat bahawa kebaikan tertinggi hanya akan dicapai oleh manusia yang bertindak melepaskan alam intelektualnya daripada ikatan fizikal supaya dia dapat membuat renungan mengenai hakikat alam.
Sebaliknya, Aristotle sebagai seorang realis berpendapat bahawa kebaikan yang wujud pada manusia bukan dalam bentuk idea, tetapi adalah hasil perlakuan manusia. Malah, ia mem-babitkan usaha serta keupayaan manusia bertindak ke tahap semaksimum mungkin. Dua pandangan berbeza dalam melihat dan menghuraikan hakikat alam oleh dua ahli falsafah agung yang menjadi teras pemikiran Barat berbanding Islam sebagai agama dan sistem kehidupan sudah pasti tidak akan seimbang. Yang satu hanyalah hasil buah fikiran manusia sedangkan yang satu lagi adalah ajaran yang sudah siap dan diturunkan Pencipta manusia untuk manusia. Yang mana satu anda pilih? Wallahu a'lam.
0 orang yang membebel:
Post a Comment